Ahad, 6 November 2016

TAWASSUL

12:00 PG Posted by Unknown No comments

TAWASSUL

LAKUKAN SESUATU SETELAH KITA MEMPELAJARINYA TERLEBIH DAHULU.

BERTAWASSUL DENGAN WALI DAN LAIN-LAIN

TAWASSUL IALAH SALAH SATU DARIPADA AJARAN ISLAM

Tawassul ialah salah satu cara berdoa dan satu daripada pintu tawajjuh (menghadap) Allah dengan menggunakan perantara. Perantara ini ialah semata-mata bagi mendekat atau menyampaikan hajat kepada Allah. Asal maknanya pada bahasa ialah setiap sesuatu yang dapat menyampaikan hajat atau tuntutan seseorang. Pada syarak pula ia bermaksud setiap yang dapat mendampingkan atau mendekatkan diri kepada Allah. (Ensiklopedia Islam 10/280)

Perkataan ini terdapat di dalam Al-Qur’an, hadis-hadis Rasulullah SAW dan sya‘ir-sya‘ir Arab. Ia juga telah menjadi pegangan Ahli Sunnah wal Jemaah. Antara sandaran bertawassul dari Al-Qur‘àn, Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya)".

(Surah Al-Maidah: 35)




Firman Allah lagi:

Tafsirnya: "Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya. Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekalipun orang yang lebih dekat kepada TuhanNya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti".
(Surah Al-Israa’: 56-57)


Maka wasilah dalam kedua-dua ayat di atas ialah sesuatu yang menjadi penyebab mendekatkan diri kepada Allah atau pengantara kepada menyampaikan hajat.
Menurut As-Sayyid Muhammad Alwi Al-Maliki Al-Makki Al-Hasani, seorang ulama berasal dari Mekkah, menjelaskan bahawa orang yang bertawassul, tidaklah menjadikan pengantara melainkan semata-mata kerana cintanya kepada pengantara itu, dan dengan keyakinan bahawa Allah mencintai pengantara tersebut. Bertawassul juga bukanlah suatu perkara yang dharuri atau mesti dibuat ketika berdoa, dan bukan juga penerimaan suatu doa itu tertakluk atau bergantung kepada tawassul, bahkan asal berdoa yang sebenarnya ialah langsung dan terus kepada Allah Subhanahu wa Ta‘àla berdasarkan firmanNya: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): "Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)."

(Surah Al-Baqarah: 186)


FirmanNya lagi: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".

(Surah Al-Mukminun: 60)


Walau bagaimanapun orang yang bertawassul, sekiranya dia meyakini bahawa sesiapa yang dijadikan pengantara kepada Allah boleh memberi manfaat atau mudarat, sama seperti Allah maka keyakinan atau iktiqadnya yang sedemikian itu adalah salah dan boleh membawa kepada syirik (menyekutukan Allah).
Bertawassul itu dilakukan sebelum seseorang itu berdoa atau menyebutkan hajatnya seperti dengan menyebut nama dan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta ‘ala, Rasul dan Nabi-nabi dan orang-orang salih sebagaimana firman Allah: "Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu".

(Surah Al-A‘raf: 180)


Dalam sebuah hadis Nabi SAW, seorang cacat penglihatan (buta) datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memohon kepada Baginda mendoakannya kepada Allah agar beliau disembuhkan daripada penyakitnya, lalu Baginda memerintahkan kepadanya berwuduk dengan baik dan membaca doa ini:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ فَتَقْضِي لِي اللَّهُمَّ شَفِّعْهُ فِيَّ (رواه الترمذى والنسائ)

Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan

menghadapkan muka kepadaMu dengan menyebut (nama) NabiMu Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad sesungguhnya aku menghadapkan wajahku kepada Tuhanku dengan (menyebutMu) untuk suatu hajat semoga diluluskan permohonanku, Ya Allah berilah kepada Baginda syafaat menolongku".

(Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’I)

0 ulasan:

Catat Ulasan