Ahad, 6 November 2016

TATACARA BERTAWASSUL

12:02 PG Posted by Unknown No comments
TATACARA BERTAWASSUL

Mengerjakan ibadat seperti sembahyang, berpuasa, membayar zakat, menunaikan haji, membaca Al-Qur‘an dan lain-lain amal yang taat, bererti mereka yang mengerjakan amalan-amalan itu bertawassul dengan ibadat-ibadat tersebut. Tawassul seperti ini lebih mendatangkan harapan untuk diterima dan tercapai tujuan, umpamanya, seseorang itu dianjurkan sembahyang hajat untuk memohonkan hajatnya agar dikabulkan. Demikian juga seseorang digalakkan membaca surah Yaasin untuk mencapai hajatnya. Di antara saat-saat dikabulkan doa ialah seseorang itu berpuasa ketika dia hendak berbuka.

Dalam kitab-kitab hadis dan buku-buku sejarah terdapat banyak riwayat tentang tawassul, sama ada bertawassul dengan zat Allah, nama-nama dan sifat-sifatNya, dengan Nabi Muhammad SAW, dengan amalan salih yang dilakukan oleh seseorang dan dengan maqam (kedudukan) para wali-wali Allah. Maka bertawassul itu dapat dilakukan dengan cara-cara berikut:

    Melalui Amalan Salih

Contoh bertawassul dengan amal salih ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim tentang tiga orang yang terkurung di dalam gua. Orang pertama bertawassul dengan kebaktian terhadap orang tua. Orang kedua bertawassul dengan sikapnya menjauhi perilaku keji, padahal kesempatan sudah terbuka baginya. Orang ketiga bertawassul dengan kejujurannya memelihara harta orang lain. Kerana tawassul mereka dengan menggunakan amal salih itulah, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memperkenankan hajat mereka dengan melapangkan kesulitan yang sedang mereka alami.

Untuk menjelaskannya lagi, kita peturunkan nas hadis berikut:

Dari Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma, katanya:

"Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan: "Pada suatu ketika ada tiga orang berjalan-jalan, mereka ditimpa hujan lebat, lalu mereka berteduh ke dalam gua di sebuah bukit. Maka telah jatuh dari bukit itu sebuah batu besar ke pintu gua tadi, menyebabkan mereka terkurung di dalamnya. Yang satu berkata kepada yang lain: "Perhatikanlah amal salih yang telah kamu kerjakan semata-mata kerana Allah, lalu berdoalah kepada Allah, (dengan menyebut amal salih itu) mudah-mudahan Allah membukakan batu itu daripada kita."

Doa orang pertama

Maka salah seorang dari antara mereka berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sangat tua, seorang isteri dan beberapa orang anak kecil yang perlu aku pelihara. Apabila aku hendak kembali kepada mereka di waktu petang, aku memerah susu untuk mereka. Maka aku mulai dengan ibu bapa, aku beri minum lebih dahulu keduanya, sebelum memberi minum anak-anakku. Pada suatu hari, aku pergi jauh mengambil kayu dan baru pulang setelah hari senja, aku dapati keduanya tidur nyenyak. Lalu aku memerah susu sebagaimana biasa dan aku bawa susu itu dan berdiri dekat kepala keduanya. Aku tidak suka membangunkan mereka dan tidak mahu memberi minum anak-anakku lebih dahulu daripada mereka, sedangkan anak-anak itu telah memekik-mekik dekat kakiku (meminta diberi minum). Namun keadaanku dan mereka (anak-anak itu) terus berkekalan begitu sampai terbit fajar. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredaanMu, maka gembirakanlah kami dengan suatu lubang, yang dari situ kami dapat melihat langit! Lalu Allah membukakan suatu lubang yang dari situ dapatlah mereka melihat langit."

Doa orang kedua

Dan yang seorang lagi berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya ada seorang perempuan anak saudaraku, aku sangat mencintainya sebagaimana cinta laki-laki kepada perempuan-perempuan. Aku meminta kepadanya supaya menyerahkan dirinya, tetapi dia menolak sehingga aku dapat memberikannya wang seratus dinar. Kemudian aku pun berusaha dengan susah payah, sehinggalah aku dapat mengumpulkan wang seratus dinar itu. Aku pun mendatanginya dengan wang tersebut. Setelah aku menjatuhkan diriku di antara dua kakinya, dia berkata: "Wahai Abdullah! Bertaqwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau buka ‘cincin’, (merosakkan kehormatan gadis), melainkan dengan haknya (perkahwinan)!" Lalu aku pun berdiri meninggalkannya. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu ialah kerana mencari keredaanMu, maka gembirakanlah kami dengan suatu lubang. Lalu Allah bukakan untuk mereka suatu lubang."

Doa orang ketiga

Dan yang seorang lagi berdoa pula: "Ya Allah! Sesungguhnya aku pernah mengupah seseorang untuk menugal padi. Setelah dia menyelesaikan pekerjaannya, dia berkata: "Berikanlah hak saya (upah)!" Lalu aku berikan upahnya itu. Tetapi dia tidak suka (tidak mahu menerimanya). Maka dari upahnya (padi itu) aku kumpulkan dan belikan seekor sapi sekaligus mengembalanya. Kemudian dia datang kepadaku dan berkata: "Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan engkau menzalimi hak saya!" Aku menjawab: "Pergilah engkau kepada sapi dan penggembalanya. Maka ambillah!" Dia berkata: "Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan saya dipermain-mainkan!" Aku menjawab: "Saya tidak mempermain-mainkan engkau. Ambillah sapi itu dan penggembalanya sekali!" Lalu diambilnya dan dibawanya semua. Kiranya Engkau juga mengetahui bahawa aku melakukan itu kerana mencari keredaanMu, bukakanlah untuk kami tutup yang masih ada!" Lalu dibukakan oleh Allah tutup yang masih ada."
(Hadis Muttafaq ‘alaih daripada Ibnu ‘Umar)


    Melalui Zat, sifat-sifat, dan nama-nama Allah

Jumhur ulama juga berpendapat bahawa tawassul melalui perkara-perkara tersebut di atas juga adalah termasuk tawassul yang disyari‘atkan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: "Hanya milik Allah al-Asmaa al-Husna (nama-nama yang agung yang sesuai dengan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala), maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut al-Asma’ al-Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
(Surah Al-‘Araf: 180)


    Melalui Doa Orang Islam Yang Masih Hidup

Bertawassul melalui doa orang Islam yang masih hidup, menurut Al-‘Allamah Ibnu Taimiyah, telapun disepakati oleh ulama akan keharusannya, kerana ianya memang terdapat di dalam Al-Qur‘an dan hadis Nabi. Firman Allah Ta‘ala: "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."

(Surah Al-Hasr: 10)


Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertawassul dengan ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anh. Dalam sebuah hadis disebutkan, bahawa ‘Umar bin al-Khattab berkata: "Aku meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk melakukan umrah. Nabi mengizinkan dan bersabda: Wahai Saudaraku, sertakan kami dalam doamu, janganlah engkau lupakan kami."

(Riwayat At-Tirmizi)


    Melalui tabarruk dari peninggalan Rasulullah SAW

Muhammad Alwi Al-Maliki Al-Makki, mengatakan bahawa para sahabat telah mengambil berkah (tabarruk) dari berbagai bekas atau kesan peninggalan Rasulullah SAW. Menurutnya, tabarruk hanya mempunyai satu makna, iaitu bertawassul kepada Allah dengan peninggalan Nabi SAW.
Menurut Alwi Al-Maliki Al-Makki, bahawa pendapat yang tidak membenarkan tawassul dengan benda-benda atau kesan-kesan peninggalan Rasulullah SAW itu adalah tidak boleh diterima. Alasannya, kerana para sahabat sendiri melakukannya untuk tujuan tabarruk yang bererti tawassul, umpamanya bertabarruk atau bertawassul dengan kuburan Nabi Muhammad SAW, sebagaimana Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab mengharapkan agar setelah meninggalnya dia akan dikuburkan di samping Rasulullah SAW dan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq.Menurut beliau lagi, bertawassul dengan benda-benda itu juga pernah dilakukan oleh para Nabi. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: "Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun, peti Tabut itu dibawa oleh Malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu, jika betul kamu orang-orang yang beriman."

(Surah Al-Baqarah: 248)


Muhammad Alwi Al-Maliki menafsirkan bahawa Bani Israil selalu bertawassul dengan tabut (peti) itu. Peti itu dibawa ke setiap pertempuran sehingga Bani Israil selalunya mendapat kemenangan.
Walau bagaimanapun, amat perlu diingat, bahawa sesuatu yang dijadikan perantara itu hanyalah berfungsi sebagai mediator untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Menurut ulama ini lagi, barangsiapa yang berkeyakinan bahawa perantara itu adalah lebih daripada sekadar mediator, maka dia telah menjadi syirik. Orang yang beri‘tiqâd bahawa perantara itu dapat mendatangkan manfaat dan mudarat seolah-olah seperti Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan atau tanpa kemahuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sesungguhnya orang seperti ini telah musyrik. Oleh itu, hendaklah difahami bahawa tawassul itu bukanlah suatu kemestian dan bukan juga suatu yang sangat perlu. Terkabulnya sebuah doa tidaklah tergantung kepada perantara itu, tetapi yang pasti, doa secara mutlak ialah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala) perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

(Surah Al-Baqarah: 186)


    Bertawassul Dengan Peribadi Nabi SAW

Bertawassul dengan peribadi Nabi SAW telah banyak diriwayatkan di dalam hadis-hadis Baginda, di antaranya disebut dalam kitab Al-Majma‘ Az-Zawaid (9/414-415), riwayat daripada Anas bin Malik, bahawa Fatimah binti Asad bin Hasyim iaitu ibunda kepada Ali bin Abi Talib Radhiallahu ànhu telah meninggal dunia. Rasulullah SAW masuk ke tempatnya lalu duduk di sisi kepalanya dan bersabda: "Semoga Allah merahmatimu, wahai ibu setelah ibuku. Engkau berlapar tetapi engkau berikan aku kenyang, engkau kurang pakaian, tetapi engkau mencukupkan pakaianku, dan engkau tidak memakai wangi-wangian, tetapi engkau memberikan aku makanan. Kesemua ini engkau lakukan semata-mata kerana mencari keredaan Allah dan balasan akhirat."

Kemudian Baginda menyuruh memandikannya tiga kali. Manakala hendak memandikannya dengan air yang bercampur dengan kapur (pewangi), maka Baginda sendiri menuangkan airnya dengan tangan Baginda. Kemudian Baginda menanggalkan baju luar Baginda dan memakaikannya kepada Ibu ‘Ali dan mengkafannya dengan kain lain di atasnya. Kemudian Baginda memanggil Usamah bin Zaid, Abu Ayyub dan ‘Umar bin Al-Khattab serta seorang budak hitam untuk menggali tanah bagi makamnya. Ketika mereka menggali sampai pada batas lahadnya, Rasulullah pun turut menggalinya, dan Baginda mengeluarkan tanah dengan tangannya sendiri, lalu Baginda berbaring padanya dan berdoa: "Allah yang menghidup dan mematikan, dan Dia sendiri hidup tiada akan mati. Ya Allah, ampunilah ibuku, Fatimah binti Asad, ajarkan hujahnya dan luaskanlah tempatnya demi hak NabiMu dan Nabi-nabi sebelum aku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengasihani dari segala yang pengasih. Baginda pun bertakbir empat kali dan mereka (iaitu) Baginda sendiri, Al-Abbas dan Abu Bakar, memasukkan mayat itu."

(Hadis riwayat At-Thabarani – dalam Kitab Al-Kabir & Al-Awsath)
(Al-Haitsami, Majma‘ az-Zawid: 9:414-415)


Dalam hadis yang lain, At-Thabrani dalam Mu’jam ash-Shaghir, al-Hakim, Abu Nu’aim dan al-Baihaqi dalam ad-Dalail, Ibnu ‘Asakir dalam Tarikhnya, dan As-Suyuthi dalam Ad-Durr Mantsur daripada ‘Umar bin Al-Khattab, menukil bahawa Nabi SAW bersabda: "Ketika Adam melakukan dosa, dia mengangkat kepalanya ke arah langit dan berkata: "(Wahai Tuhan), aku memohon kepadaMu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku."



Allah mewahyukan kepadanya: "Siapakah Muhammad?"

Adam menjawab: "Ketika Engkau menciptakan aku, aku mengangkat kepalaku ke arah ‘arasyMu, dan aku melihat di sana tertulis: "Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah". Aku pun berkata kepada diriku, bahawa tiada seorang pun yang lebih agung daripada seorang yang namanya Engkau tuliskan di samping namaMu. Ketika itu Allah mewahyukan kepadanya: "Dialah Nabi yang terakhir dari keturunanmu, dan jika tidak kerana dia, nescaya Aku tak akan menciptakanmu."

(As-suyuti, ad-Durr, al-mantsur fi Tafsir al-ma‘tsur, 1:42)


soalan : Bolehkah Bertawassul Dengan Selain Daripada Nabi SAW???

Bertawassul selain daripada Nabi SAW tidak dihalang oleh Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya, daripada ‘Umar bin al-Khattab RA katanya: "Bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling baik daripada kalangan Tabi‘ien ialah seorang lelaki dipanggil Uwais, dia mempunyai seorang ibu, dan dengannya ada tanda keputihan (sopak), maka kamu suruhlah dia (Uwais itu) untuk memintakan ampun bagi kamu."

(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam riwayat lain pula menyebutkan: "Dia mempunyai seorang ibu yang dia (Uwais) berbuat baik kepadanya, jika dia bersumpah (memohon) kepada Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya. Oleh kerana itu, jika engkau berupaya (mendapatkan Uwais) untuk memohonkan ampun bagimu, maka lakukanlah."

Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anh telah meminta Uwais mendoakannya supaya beliau diampunkan. Ini adalah dalil menunjukkan, bahawa bertawassul dengan doa orang-orang Islam itu adalah sesuatu yang harus yang diharuskan oleh syara‘, sekalipun sekiranya orang yang berdoa itu lebih rendah kedudukannya daripada orang yang didoakan.

Selain itu juga berlaku tawassul dengan hamba-hamba Allah dan malaikat yang tidak dilihat di dalam keadaan-keadaan tertentu sebagaimana hadis berikut ini:
Daripada ‘Utbah bin Ghazwan daripada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila seorang daripada kamu kehilangan sesuatu atau memerlukan pertolongan sedangkan dia berada di suatu tempat yang tiada orang dapat menolongnya, maka hendaklah dia berseru: "Wahai hamba-hamba Allah, kamu tolonglah aku," sesungguhnya bagi Allah itu ialah hamba-hamba yang kita tidak nampak. Dan perkara ini telah dicuba"

(Hadis riwayat At-Thabrani)

Daripada Ibnu ‘Abbas, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah itu ialah malaikat-malaikat di bumi selain Malaikat Hafazah, mereka itu bertugas menulis setiap helai daun pokok yang jatuh, maka apabila salah seorang daripada kamu sesat di bumi yang lapang (sahara) maka hendaklah dia berseru: "Kamu tolonglah aku wahai hamba-hamba Allah"

(Hadis riwayat At-Thabrani)


Terdapat sebuah hadis, bahawa Nabi Muhammad SAW berdoa selepas Baginda itu menunaikan dua raka‘at sunat fajar: "Ya Allah, Ya Tuhan (yang menciptakan) Jibril, Israfil, Mikail dan Muhammad Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku berlindung kepadaMu dari seksa neraka."

Berkata An-Nawawi dalam kitab Al-Azkar: Hadis ini riwayat Ibnu As-Sunni. Dan berkata Al-Hafiz selepas mentakhrijkannya, ia adalah hadis hasan. (Syarah Al-Azkar karangan Ibnu ‘Allan juz 2 m/s 139)


Adapun disebut secara khusus mereka itu (Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad) ialah dalam makna bertawassul dengan mereka. Seolah-olah dia berkata: Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dan aku bertawassul kepadaMu dengan Malaikat Jibril, Israfil, Mikail dan Muhammad Nabi SAW. Aku berlindung kepadaMu daripada seksa neraka.

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Qur‘an, hadis dan amalan Rasulullah SAW, serta amalan para sahabat sebagaimana yang telah dihuraikan di atas, maka tawassul itu adalah suatu yang memang wujud. Walau bagaimanapun hendaklah kita beriktiqad bahawa pengantara itu bukanlah ia yang memberi manfaat atau mudarat, kerana jika berkeyakinan bahawa pengantara itu boleh memberi manfaat atau mudarat; maka keyakinan sedemikian itu adalah salah kerana menyamai seperti Allah dan iktiqad tersebut boleh membawa kepada syirik (menyekutukan Allah).


BERTAWASSUL DENGAN ORANG MATI

Jumhur berpendapat ianya haram manakala segelintir yang mengharuskan , di antara mereka yang berpendapat harus ialah pengarang kitab Bughyah al Mustarsyidin.


nota : Terbaiknya perkara khilaf dijauhi. Ambillah yang disepakati SUPAYA lebih lebih tenang di jiwa.


0 ulasan:

Catat Ulasan