Ahad, 6 November 2016

KONSERT NYANYIAN DARI SUDUT ISLAM

3:25 PG Posted by Unknown No comments
KONSERT  NYANYIAN  DARI SUDUT ISLAM

عَنْ أَبَانَ بْنِ عُثْمَانَ، قَالَ: سَمِعْتُ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ، يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَيَضُرَّهُ شَيْءٌ " وَكَانَ أَبَانُ، قَدْ أَصَابَهُ طَرَفُ فَالِجٍ، فَجَعَلَ الرَّجُلُ يَنْظُرُ إِلَيْهِ، فَقَالَ لَهُ أَبَانُ: «مَا تَنْظُرُ؟ أَمَا إِنَّ الحَدِيثَ كَمَا حَدَّثْتُكَ، وَلَكِنِّي لَمْ أَقُلْهُ يَوْمَئِذٍ لِيُمْضِيَ اللَّهُ عَلَيَّ قَدَرَهُ»: «هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ»

Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari hiburan. Ada antara mereka yang mencari hiburan itu dengan melancung, makan angin, bersiar-siar, bersukan, memancing ikan, menari, mendengar nyanyian dan sebagainya.
Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, makan minum, pakai dan lain-lain. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Hal ini telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ }الأنعام32
Tafsirnya: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan”
(Surah Al-An‘am: 32)


JAUHI PERKARA SYUBHAH!!
Islam menggariskan ketetapan mengenai perkara halal dan haram dengan jelas dan terang melalui Al-Qur‘an, hadith, ijma‘ dan qiyas. Para ulama juga telah meletakkan kaedah-kaedah umum mengenai halal haram apa yang disebut sebagai qawaid fiqhhiyyah.
Jika kedudukan suatu perkara itu telah jelas, tidak ada kesamaran, hatta dalam kesamarannya pun (syubhah) maka kewajipan kita ialah mengikut dan taat menurut perintah Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud

 "Daripada Abu Abdullah bin An-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhuma, katanya: "Aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (juga) jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (belum diketahui halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang syubhah itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya (daripada kata nista orang lain). Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan tergelincir ke dalam perkara haram pula, laksana seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar tempat larangan, akhirnya lalai, lalu memasuki tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja itu, ada tempat larangannya dan tempat larangan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu ada seketul daging. Sekiranya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad itu. Ia itulah hati".
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas adalah selamat bagi setiap orang Islam menurut petunjuk Rasulullah SAW supaya menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang samar-samar atau syubhah agar tidak terjebak kepada haram.

Begitulah juga apabila bercakap mengenai perkara halal atau haram hendaklah merujukkan perkara tersebut kepada orang yang ahli mengenainya. Ditakuti perkara yang halal disangkakan haram dan begitulah sebaliknya. Jika perkara sedemikian berlaku dikhuatiri akan menjejaskan aqidahnya. Yang paling mendukacitakan dan merasa kesal jika perkara haram itu dipromosikan maka jadilah perkara haram (mungkar) itu suatu yang dibanggakan dan perkara yang halal (ma‘ruf) dipandang mungkar. Inilah peringatan sebagaimana yang disebut oleh kitab Mau‘izah Al-Mukminin min Ihya Ulum Al-din:

Maksudnya: "Cubalah anda perhatikan (lihat) bagaimana yang mungkar itu menjadi perkara ma‘ruf dan yang ma‘ruf itu pula menjadi mungkar".



SEJARAH KONSERT

Konsert ialah satu persembahan muzik di hadapan penonton. Istilah ini pada kebiasaannya dikhaskan untuk persembahan yang dipertunjukkan oleh suatu kumpulan ahli muzik. Manakala persembahan yang dilakukan oleh seorang atau lebih pemuzik biasanya dipanggil retical. Perkataan konsert pada asalnya bermakna gabungan ahli persembahan suatu kensert viol bukan persembahan itu sendiri dan istilah itu tidak mempunyai makna seperti sekarang sehingga abad ke 17. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215)

Menurut Ensiklopedia Malaysiana, sebelum abad ke 17, muzik hanya diperdengarkan di gereja, di dewan persendirian orang bangsawan atau di perjumpaan akademi yang tertutup atau kumpulan lain. Walau bagaimanapun dengan perkembangan opera pada abad ke 17 seni muzik buat pertama kalinya menjadi satu institusi orang ramai. Konsert orang ramai yang terawal pernah direkodkan dan mengenakan bayaran masuk adalah konsert yang diadakan di London oleh pemain biola John Bawister pada tahun 1672. Pada abad ke 18 pula konsert orang ramai mula terbentuk kukuh di seluruh Eropah dan Amerika. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215)

Berdasarkan penjelasan di atas konsert adalah suatu persembahan oleh ahli gabungan muzik. Muzik pula ialah gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama. Muzik tidak boleh lari daripada alat-alatnya dan ia mempunyai pelbagai bentuk seperti :
(1)    Dipukul atau dipalu seperti gendang atau rebana.
(2)    Ditiup seperti seruling, serunai atau trompet.
(3)    Dipetik seperti kecapi, gambus, gitar atau biola.
Apabila disebut alat-alat muzik terbayang kepada kita tentang alat-alat hiburan yang dibuat oleh manusia untuk menghasilkan alunan bunyi-bunyian.Alat-alat muzik itu pada kebiasaannya dimainkan untuk mengiringi lagu-lagu, sama ada untuk majlis-majlis keagamaan ataupun semata-mata hiburan.Dalam masyarakat moden sekarang ini, pelbagai irama muzik yang dimainkan sama ada melalui radio, televisyen ataupun mengadakan konsert secara langsung. Persoalan yang hendak dihuraikan ialah adakah bermain muzik itu harus atau bertentangan dengan hukum syara‘?



HUKUM MUZIK
Kedudukan hukum muzik itu akan tergantung kepada apa jenis alat yang digunakan kerana ada di antara alat muzik itu yang diharamkan oleh syara‘ dan ada pula tidak. Jadinya kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

(1)     Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syara‘, maka kedudukan muzik itu adalah haram.
(2)    Menggunakan alat muzik yang diharuskan oleh syara‘, maka kedudukannya adalah harus.
(3)     Bermain atau menggunakan alat muzik yang harus, tetapi dicampur dengan perkara-perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram.


ALAT-ALAT MUZIK YANG DITEGAH
Dalam beberapa buah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan jenis-jenis alat muzik yang diharamkan. Adapun alat-alat muzik yang ditegah oleh syara‘ itu ialah:
1.    Al-Ma‘azif iaitu sejenis alat muzik yang bersenar (bertali) banyak.
2.    Al-Mazamir iaitu alat muzik yang ditiup seperti seruling.
3.    Al-Awtar atau Al-‘ud iaitu alat muzik yang bertali sejenis kecapi.
4.    Al-Thabl atau Al-Kubah iaitu gendang kecil yang ramping di tengah.
5.    Al-Kamanjah iaitu Biola.
6.    Al-Rabab iaitu alat bunyian (seperti biola) yang bertali dua atau tiga.
7.    Al-Shanj iaitu canang, berupa dua piring kekuningan yang diadu.
8.    Al-Junk atau Al-Thunbur iaitu alat muzik yang dipetik yang mempunyai leher
9.    panjang dan mempunyai tali daripada tembaga (berasal dari Parsi).
Pengharaman alat-alat muzik yang dinyatakan di atas berdasarkan hadis-hadis berikut;
1.    Diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :
Maksudnya: "Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan saya menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan alat ma‘azif (alat bunyi-bunyian) dan alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (bunyi-bunyian bertali), salib (cross) dan perkara-perkara jahiliah dan Tuhan saya telah bersumpah dengan kebesaranNya dan kekuasaanNya dan dengan kemuliaanNya: "Tiada minum seorang hamba daripada hamba-hambaKu itu akan seteguk daripada arak dengan sengaja ketika berada di dunia melainkan Aku akan meminumkan dia ganti arak itu daripada darah nanah pada Hari Kiamat, sama ada diampunkan dia atau sama ada diazabkan dia dan tiada siapa hambaKu yang meninggalkan arak di dunia kerana takutkan Aku, melainkan Aku beri dia minum akan arak di syurga. Tiadalah halal dijual benda-benda itu dan tiada halal dibeli akannya dan tiada halal diperniagakan dan harganya adalah haram.
(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Thayalisy)
2.    Ahmad bin Mani‘ Al-Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaznya:
 "Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan saya (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekalian alam dan Allah telah memerintahkan saya menghapuskan mazamir, ma‘azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah (dan sekarang) dan Tuhan saya telah bersumpah dengan kebesaranNya dan kekuasaanNya. "Tiada seorang hamba yang minum arak di dunia melainkan Aku minumkan dia dari air panas neraka sama ada dia kena azab atau diampunkan dia dan tiada meninggalkan oleh seorang hamba daripada hamba-hambaKu itu akan arak (di dunia kerana takutkan dosanya) melainkan Aku beri dia minum akan arak syurga".
3.    Hadis ini disokong oleh hadis riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang telah berkata:

Maksudnya: "Kubah itu haram, dannu itu haram, ma‘azif (alat muzik bertali) itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram".
(Hadis riwayat Ahmad)

4.    Di riwayatkan oleh Al-Bazzar daripada riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengharamkan bangkai, judi dan kubah yakni thanbur (bukan thunbur perang)".

5.    Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Ditukarkan keadaan satu golongan daripada umatku kepada
 keadaan yang lebih buruk dengan sebab mereka meminum arak dan bermain kubah (sejenis gendang) dan ma‘azif".

6.    Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasululah SAW telah bersabda:
Maksudnya: "Aku diperintahkan untuk membinasakan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup"
(Hadis riwayat Ad-Dailami)
Demikian beberapa hadis yang menjadi dalil tentang haramnya alat-alat hiburan (muzik). Para ulama mazhab Al-Syafi‘e juga telah menghukumkan bahawa alat-alat muzik itu adalah haram, sebagaimana yang disebutkan oleh hadis di atas.
Dalam kitab Al-Muhadzdzab karangan Imam Abu Ishak Al-Syirazi menjelaskan bahawa haram menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan (dipanting atau digendang) tanpa ada lagu seperti ‘ud, thaunbur, ma‘azifah, thabl (gendang) dan mizmar.

Adapun dalil haramnya bermain muzik itu sekalipun tidak diiringi dengan lagu berdasarkan firman Allah:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُواً أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Tafsirnya: "Dan ada di antara manusia; orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah".
(Surah Luqman: 6)

Menurut Ibnu ‘Abbas maksud tafsir "perkara hiburan yang melalaikan" itu adalah alat-alat hiburan. (Al-Muhadzdzab: 2/457)
Begitu juga dalam kitab Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya, dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, ‘ud, shanj dan mizmar Iraqi dan (haram) mendengarnya. (Hasyiah Qalyubi wa Umairah: 4/321)
Imam Ibnu Hajar pula menyebutkan dalam kitabnya Al-Zawajir bahawa Abu Al-Abbas Al-Qurtubi telah berkata: "Adapun alat-alat muzik yang ditiup (al-mazamir), alat-alat muzik yang bertali (al-awtar), alat-alat muzik yang digendang (kubah), maka tiada perselisihan ulama pada mengharamkan mendengarnya dan aku tidak mendengar seorang pun daripada ulama yang muktabar sama ada daripada ulama salaf dan juga khalaf yang berpendapat mengharuskannya. Dengan hal yang demikian tidak syak lagi pada mengharamkannya dan tentang fasik dan berdosanya orang yang melakukannya, kerana ia adalah syiar (tanda dan lambang) bagi penggemar-penggemar arak dan penyokong-penyokong perbuatan fasik".
Sesungguhnya ulama-ulama dalam mazhab Syafi‘e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan kita dapati juga ulama-ulama mazhab lain seperti ulama mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat demikian.

0 ulasan:

Catat Ulasan