Ahad, 6 November 2016

MENGUTUK AHLI MAKSIAT

2:38 PG Posted by Unknown No comments
MENGUTUK AHLI MAKSIAT

SOALAN :
Apa hukum kita mengutuk atau mengeji kemungkaran yang dilakukan pemimpin ? Sebagai contoh kita mengutuk skandal 1MDB. Sedangkan kita sedang berpuasa ?

JAWAPAN :
Apabila sesuatu kemunkaran dilakukan, hendaklah kita :
1-    MENCEGAH BAGI YANG BERKEMAMPUAN
Setiap kemunkaran wajib dicegah. Kemunkaran ialah sesuatu yang bercanggah dengan Islam. Di antara kemunkaran yang sering dibincang ialah penglibatan seseorang dalam kerja munkar. Antara caranya ialah :
I-    Pastikan orang tersebut, terlibat dalam kemunkaran samada melalui bukti yang tidak ada keraguan padanya atau melalui pengakuannya. Hukum asal manusia, ialah tidak bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya.
II-    Jika dipastikan penglibatannya dalam kemunkaran, maka dilakukan pencegahan bagi yang mampu mengikut urutan berikut (rujuk Ihya Ulumiddin ) :
1-    Menjelaskan bahawa apa yang dilakukannya ialah munkar.
2-    Melarangnya dari terus melakukan kemunkaran.
3-    Memberi nasihat.
4-    Menggunakan ucapan yang kasar jika ia tidak berubah dengan ucapan tersebut.
TETAPI, Jika sekiranya si pelaku kemunkaran terus berdegil, bahkan menwar-warkan kemunkarannya, maka diizinkan ketika itu untuk mengisytiharkannya sebagai AHLI MAKSIAT di khalayak ramai. Hal ini bertujuan untuk dia kembali ke pangkal jalan dan menyedarkan masyarakat agar tidak memberi sokongan kepadanya .
Masalah yang sering timbul ialah masyarakat kita mengisytiharkan kemungkarang seseorang terlebih dahulu sebelum memastikan dia benar-benar terlibat dengan perkara munkar.

Allah memberitahu ingatan berkenaan hal ini:
Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, .Menjadi kewajipan kepada mereka yang terlibat dengan amar makruf dan nahy munkar mempelajari hukum yang berkaitan amr makruf dan nahy munkar sebelum menceburinya.

Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (147)
Maksudnya: (147) tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan Kami, ampunilah dosa-dosa Kami dan tindakan-tindakan Kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian Kami, dan tolonglah Kami terhadap kaum yang kafir".

Maksud berlebihan dalam ayat di atas ialah melampaui dalam tindakan ketika berjuang dalam menegakkan Islam. Sebagai contohnya, penjenayah yang merompak, tidak boleh dituduh berzina akibat kebencian kita kepadanya.

Selain dari itu, kita semestinya mendoakan agar si pelakunya diberi petunjuk. Contohilah para anbiya’ sentiasa mendoakan agar kaumnya diberi petunjuk walaupun kaumnya melakukan penentangan yang begitu dahsyat. Mereka dituduh gila, gila kuasa, tukang sihir dan sebagainya. Tetapi mereka tetap menadah tangan ke langit mendoakan agar kaumnya diberi hidayah. Sila tatapi kisah para rasul.

Dalam masa yang sama, kita juga hendaklah muhasabah dan merenung kepada diri sendiri, adakah perbuatan munkar itu ada pada diri kita sendiri .

Al Hakim meriwayatkan:
سَمِعْتُ أَبَا عِمْرَانَ الْجَوْنِيَّ، يَقُولُ: مَرَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ بِدَيْرِ رَاهِبٍ فَنَادَاهُ: يَا رَاهِبُ يَا رَاهِبُ. قَالَ: فَأَشْرَفَ عَلَيْهِ فَجَعَلَ عُمَرُ يَنْظُرُ إِلَيْهِ وَيَبْكِي، قَالَ: فَقِيلَ لَهُ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَا يُبْكِيكَ مِنْ هَذَا؟ قَالَ: " ذَكَرْتُ قَوْلَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِي كِتَابِهِ: {عَامِلَةٌ نَاصِبَةٌ تَصْلَى نَارًا حَامِيَةً تُسْقَى مِنْ عَيْنٍ آنِيَةٍ} [الغاشية: 4] فَذَلِكَ الَّذِي أَبْكَانِي
Abu Imran berkata, Sayyidina Umar pernah melalui rumah ibadah seorang rahib ( paderi ) lalu dia memanggil wahai rahib, wahai rahib. Rahib tersebut keluar , sebaik sahaja Sayyidina Umar melihatnya beliau menangis. Ditanya apakah yang menyebabkan engkau menangis ? Baginda menjawab aku teringat ayat :
1. Sudah datangkah kepadamu berita (tentang) hari pembalasan?
2. Banyak muka pada hari itu tunduk terhina,
3. Bekerja keras lagi kepayahan,
4. Memasuki api yang sangat panas (neraka),
Itulah yang menyebabkan aku menangis.

Sayyidina Umar amat bimbang dia termasuk dalam golongan yang kuat beramal tetapi amalnya ditolak. Sayyidina Umar menangis bila melihat ahli maksiat kerana bimbang dirinya juga menjadi sepertinya. Hukum di atas adalah sepanjang masa samada ketika berpuasa atau tidak.

0 ulasan:

Catat Ulasan