SOALAN :
Apa hukum guna telekung masjid untuk kegunaan sendiri di rumah? Dia mengambil telekung di masjid kerana tak berkemampuan beli baru dengan niat nak menggantikannya suatu hari nanti.
JAWAPAN :
Haram menggunakan milik atau harta orang lain melainkan setelah mendapat keizinan darinya.
Imam Ahmad meriwayatkan:
لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يَأْخُذَ عَصَا أَخِيهِ بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسِهِ
Maksudnya: Tidak halal seseorang mengambil tongkat saudaranya tanpa keredaannya.
Harta benda masjid adalah milik umum iaitu milik masyarakat yang diuruskan oleh pihak pengurusan masjid. Penggunaan barang milik masjid hendaklah mendapat keizinan daripada pihak pengurusan. Samada keizinan secara berlisan atau bertulis atau keizinan menurut adat setempat terlebih dahulu termasuk telekung yang disediakan oleh pihak masjid.
Mengambil telekung tanpa mendapat keizinan pihak masjid adalah satu kesalahan walaupun yang mengambilnya berniat baik. Islam tidak mengharuskan menggunakan cara yang salah untuk mencapai matlamat yang baik. Contohnya, dianjur konsert haram bertujuan untuk mengutip derma untuk Gaza.
Dari sudut yang lain, tidak ada pakaian sembahyang khas untuk lelaki dan wanita. Sepatutnya apa yang dipakai ketika keluar rumah adalah pakaian yang boleh digunakan untuk mengerjakan solat.
0 ulasan:
Catat Ulasan