CAIRAN DARI KEMALUAN WANITA
SOALAN :
Ustaz ,
Kalau seseorang wanita mengandung itu keluar keputihan , dia dah cuci keputihan itu sebelum solat . Tapi lepas solat , dia perasan keputihan tu masih melekat pada pakaian solatnya, padahal dia dah pasti keputihan tu dah tiada sebelum solat . Adakah sah solatnya tadi ? Bagaimana pula jika keputihan itu keluar semasa solat ? Batal tak solat ? Perlu ke dia mengambil semula wudhu’ ?
Doktor ,
Adakah normal untuk wanita mengandung mengalami keputihan yang banyak di trimester pertama dan kedua ? Adakah dikira najis?
JAWAPAN :
Cairan atau lembapan yang keluar dari wanita terbahagi kepada beberapa kategori :
1. Cairan tidak berwarna , hanya berbau hanyir biasa . Ia adalah cairan biasa secara fisiologi rongga vagina akibat dari pergerakan atau iklim tertentu . Ruang rongga vagina terdapat kelenjar-kelenjar bagi memberi keselesaan dan sistem pertahanan luaran dari jangkitan kuman. Ia dipanggil Ruthubah al farj (رطوبة الفرح). Cairan ini seperti peluh atau hingus .
2. Cairan yang berwarna ataupun tidak berwarna tetapi berbau busuk dan hanyir yang tidak menyenangkan . Ia adalah sejenis cairan penyakit yang mengganggu persekitaran vagina atau peranakan wanita . Kemungkinan ia akibat dari jangkitan kuman , ketumbuhan atau kanser yang berada disekitar vagina dan peranakan (uterus). Ia disamakan dengan air nanah yang keluar apabila berlaku jangkitan kuman ditempat lain.
3. Cairan yang keluar dari saluran kencing wanita. Terdapat cairan berwarna jernih kekuningan keluar ketika akhir kencing, ia diberi nama air wadi.
4. Cairan yang keluar semasa ghairah dan semasa melakukan hubungan kelamin. Ia dipanggil air mazi (keluar ketika rangsangan permulaan syahwat) dan air mani (keluar ketika kemuncak syahwat).
Namun Istilah keputihan agak umum. Ada wanita menyatakan kategori 1 itu keputihan dan ada yang menyatakan kategori 2 juga keputihan. Dalam istilah perubatan keputihan merujuk kepada jangkitan kulat candida (cairan berwarna putih kulat). Ia biasa berlaku kepada wanita yang hamil, berpenyakit kencing manis atau berpenyakit kelamin dan HIV.Sukar untuk membezakan cairan kategori 1 dan 2 itu datang dari saluran vagina atau rongga peranakan.
IMPLIKASI HUKUM
KATEGORI 1
ianya adalah sejenis cairan biasa yang sukar dihalang kerana faktor yang disebut di atas. Terdapat dua pendapat yang membicarakan cairan Ruthbah Al Farj ini :
1. Menurut mazhab Hanafi, rutubah adalah suci. Imam Nawawi dan Imam Rafi’I juga berpendapat keputihan adalah suci.
Imam Nawawi menyatakan di dalam kitab Majmuk:
ثُمَّ إنَّ الْمُصَنِّفَ رَحِمَهُ اللَّهُ رَجَّحَ هُنَا وَفِي التَّنْبِيهِ النَّجَاسَةَ وَرَجَّحَهُ أَيْضًا الْبَنْدَنِيجِيُّ: وَقَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ وَغَيْرُهُمَا الْأَصَحُّ الطَّهَارَةُ وَقَالَ صَاحِبُ الْحَاوِي فِي بَابِ مَا يُوجِبُ الْغُسْلَ نَصَّ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ فِي بَعْضِ كُتُبِهِ عَلَى طَهَارَةِ رُطُوبَةِ الْفَرْجِ وَحُكِيَ التَّنْجِيسُ عَنْ ابْنِ سُرَيْجٍ فَحَصَلَ فِي الْمَسْأَلَةِ قَوْلَانِ مَنْصُوصَانِ لِلشَّافِعِيِّ أَحَدُهُمَا مَا نَقَلَهُ الْمُصَنِّفُ وَالْآخَرُ نَقَلَهُ صَاحِبُ الْحَاوِي وَالْأَصَحُّ طهارتها
Al Baghawi dan al Rafi’I pula mengatakan menurut pendapat yang terkuat, ianya adalah suci. Menurut al Mawardi, dalam bab perkara yang mewajibkan mandi menyebut, Imam Syafei RA menyatakan dalam setengah karangannya bahawa keputihan atau peluh kemaluan dari dalam faraj adalah suci, tetapi Ibnu Suraij menaqalkan Imam Syafei menyatakan ianya adalah najis.
Dalam kenyataan tersebut, Imam Syafei mempunyai pandangan berkenaan keputihan iaitu suci dan najis. Menurut pendapat yang terkuat ianya adalah suci.
Mazhab Hambali juga berpendapat keputihan jenis ini adalah suci.
Jika keputihan yang sentiasa keluar yang sifatnya seperti peluh jika dianggap najis, membawa kesukaran kepada kaum muslimah. Lagipun tiada nas Al Quran atau Hadis yang menyatakan keharamannya. Kaedah fekah menyebut:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ
Maksudnya: “Hukum asal segala sesuatu adalah suci”
Justeru, wanita boleh meneruskan ibadah tanpa halangan.
2. Menurut pendapat muktamad mazhab Maliki, rutubah iaitu keputihan adalah najis.
Menurut mazhab Syafei pula keputihan adalah najis, pendapat ini dibincangkan oleh Al Syirazi. Al Syirazi RA menguatkan di dalam kitab al Muhazzab dan kitab al Tanbih pendapat yang mengatakan keputihan atau peluh atau cairan dari dalam kemaluan adalah najis dan pendapat ini disokong oleh Al Bandaniji. Manakala Syeikh Zakaria al Ansori menyatakan dalam kitab Asna al Matolib.
وَأَمَّا الرُّطُوبَةُ الْخَارِجَةُ مِنْ بَاطِنِ الْفَرْجِ فَتُنَجِّسُهُ
Maksudnya: "Adapun keputihan yang keluar dari dalam faraj adalah najis."
Dalilnya :
I) Imam Muslim meriwayatkan:
قَالَ: أَخْبَرَنِي أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ، أَنَّهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: إِذَا جَامَعَ الرَّجُلُ المَرْأَةَ فَلَمْ يُنْزِلْ؟ قَالَ: «يَغْسِلُ مَا مَسَّ المَرْأَةَ مِنْهُ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وَيُصَلِّي»
II) Imam Muslim mendefinisikan keputihan itu menyamai mazi iaitu tidak
tercipta darinya anak dan keluar dari dalam faraj, oleh itu hukumnya ialah hukum mazi iaitu najis.
KATEGORI 2
Para wanita hendaklah memastikan cairan yang keluar tersebut dalam kategori ini. Jika sukar untuk memmastikannya, sayugia bertemu para doktor untuk pengesahan. Ia dimasukkan dalam hukum cairan nanah dan ia adalah najis yang perlu dicuci. Sementara terdapat kaedah dalam masalah Fiqh,
الفرع يأخذ حكم أصله
Hukum turunan itu sama seperti hukum asalnya.
Dalam Ensiklopedia Fiqh dinyatakan,
اتفق الفقهاء على أن القيح إذا خرج من بدن الإنسان فهو نجس؛ لأنه من الخبائث، قال الله تعالى: { وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ} ، والطباع السليمة تستخبثه، والتحريم لا للاحترام دليل النجاسة؛ لأن معنى النجاسة موجود في القيح إذ النجس اسم للمستقذر وهذا مما تستقذره الطباع السليمة لاستحالته إلى خبث ونتن رائحة؛ ولأنه متولد من الدم والدم نجس
Para ulama sepakat bahawa nanah ketika keluar dari badan manusia, hukumnya NAJIS. Kerana nanah termasuk benda yang menjijikkan.
CARA IBADAH :
Bagi wanita yang mengalami keadaan ini dan mengambil pendapat keputihan KATEGORI 1 itu najis adalah:
1. Jika keputihan itu keluar berterusan, maka ianya termasuk dalam hadas berterusan, maka ianya sama dengan air kencing yang sentiasa keluar (Salasul baul).
2. Untuk mengerjakan solat, wajib dilakukan perkara berikut selepas masuk
waktu solat secara tertib dan berturut-turut :
I) BASUH KEMALUAN
II) MEMAKAI TUALA WANITA
III) MENGAMBIL WUDUK
IV) SEGERA MENGERJAKAN SOLAT
3. Jika sekiranya keputihan itu tidak berterusan hukumnya samada air kencing.
4. Jika keputihan berterusan, tidak batal so lat jika keluar keputihan ketika solat.
5. Wuduk bagi wanita yang mengalami keputihan secara berterusan ialah satu wuduk fardu dan boleh dikerjakan dengannya amalan sunat tanpa batasan.
6. Oleh kerana ianya sukar dipastikan samada berterusan atau sebaliknya, maka ia bergantung sangkaan mereka yang terlibat dengan keputihan tersebut. Sangkaan itu wajib diikut.
KATEGORI 3
Ia adalah najis kerana berpunca dari air kencing. Jika seseorang wanita itu berpenyakit kencing tidak tus (salasul baul). Kaedah bersuci salasul baul sama dengan katogori 2.
KATEGORI 4
Adalah air Mazi. Ia najis dan wajib dicuci. Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.
CARA MENCUCI AIR MAZI :
Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :
تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ
“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sumber rujukan:
1. Ahkam al Najasah fi al Fiqh al Islami , Abdul Majid Mahmud Solahin hal 128-130.
2. al Najasah wa Ma Yutohhiruhaa fi al Fiqh al Islami – Dirasah Muqaranah, Dr Abdul Hasib Sanad ‘Atiyyah, hal.25.
3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 34/128
NOTA TAMBAHAN :
Mungkin ada yang berkata, nampak rumit jika berterusan sedangkan Islam itu mudah. Memang benar Islam itu mudah , tetapi apakah maksud mudah yang dikehendaki Islam?? Di antara tutup kepala dengan tidak tutup kepala, sememangnya lagi mudah untuk tidak tutup kepala , tetapi Islam mewajibkan wanita baligh menutup kepala di khalayak ramai. Adakah menutup kepala bercanggah dengan sifat Islam ???
Apabila kita terkentut, kita diwajibkan bewuduk iaitu basuh muka, tangan, sapu kepala dan basuh kaki. Menurut logiknya, basuh tempat kentut sahaja sudah memadai.
Mereka yang mencuri dikerat tangan tetapi mereka yang sudah berkahwin apabila berzina direjam sampai mati, mengapa tidak kerat kemaluannya?
Islam itu tidak menjadi logik sebagai satu-satunya sumber sandaran.
CIRI DARAH HAID
Menurut fiqh sesuatu darah itu dikira darah haid apabila memenuhi perkara berikut :
1- Warna hitam atau merah atau kuning atau keruh atau warna tanah.
2- Keluar lebih dari 1 hari dan kurang dari 15 hari.
3- Wanita yang keluar darah itu berusia 9 tahun dan ke atas.
4- Jarak antara akhir haid sebelumnya dengan darah yang baru 15 hari ke atas. Contohnya tarikh akhir haid sebelumnya 1 hb jun. Darah berikutnya keluar 16 hb iaitu jarak antara dua darah 15 , maka darah tersebut dianggap haid
0 ulasan:
Catat Ulasan