Isnin, 7 November 2016

HUKUM SUAMI@ISTERI MEMANDI MAYAT PASANGAN MASING-MASING

7:15 PG Posted by Unknown No comments

HUKUM SUAMI@ISTERI MEMANDI MAYAT PASANGAN MASING-MASING

SOALAN

Kalau suami meninggal, isteri dikira diceraikan, bukan? Jadi apa hukum isteri memandikan jenazah suami atau sebaliknya? Aurat dikira tak? Maaf tanya macam soalan bukan-bukan.

JAWAPAN

Apabila mati suami atau isteri, kesan ikatan  perkahwinan  masih lagi wujud . Oleh sebab itu suami isteri boleh mempusakai antara satu sama lain.

Secara umumnya hubungan suami isteri kekal seperti sebelum mati.  Oleh itu harus suami@ isteri memandikan mayat pasangan masing-masing sebagaiman harusnya memandi pasangan ketika hidup.

Di antara dalil naqli hukum di atas  ialah:

1- Abu Dawud meriwayatkan Aisyah RA berkata:

لَوْ اسْتَقْبَلْتُ مِنْ أَمْرِي مَا اسْتَدْبَرْتُ مَا غَسَّلَ رَسُولَ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إلَّا نِسَاؤُهُ»

Jika sekiranya perkara yang sudah berlalu belum berlaku ( nabi SAW belum wafat ) , nescaya tidak memandikan jenazah baginda SAW melainkan oleh isteri-isteri baginda SAW.

2-al Baihaqi meriwayatkan daripada Aisyah RA:

Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang dimandikan oleh isterinya ( ketika dia mati ).
Maka Sayyidina Abu Bakar berpesan kepada isterinya Asma binti Umais agar memandikan mayatnya dan isterinya melakukannya.

3-Ibn Majah meriwayatkan nabi SAW bersabda kepada Aisyah :

مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي، فَقُمْتُ عَلَيْكِ، فَغَسَّلْتُكِ، وَكَفَّنْتُكِ، وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ، وَدَفَنْتُكِ

"Tidak mengapa jika engkau mati sebelumku lalu aku menguruskan jenazah engkau, aku memandikan, mengkapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan engkau".

4-al Daraqutni meriwayatkan Fatimah berpesan agar mayatnya dimandikan Sayyidina Ali.

Walaubagaimanapun yang afdhalnya lelaki memandi mayat lelaki dan perempuan memandikan mayat perempuan.

SUSUNAN YANG TERLEBIH AULA BAGI MEMANDIKAN MAYAT LELAKI MENGIKUT TERTIB

Kitab Bughyah karangan ada menyatakan:

“(Bermula) orang yang terlebih aula daripada laki-laki yang memandikan laki-laki itu orang yang terlebih aula dengan sembahyang atasnya dan iaitu segala asabahnya daripada nasab kemudian yang memerdehekakan dia kemudian imam atau naibnya ( pemerintah atau wakilnya ) jika muntazhom baitulmal ( jika pemerintah adil ) kemudian maka zawil arham ( keluarga yang jauh) kemudian maka orang yang hilat ( asing iaitu bukan keluarga ) kemudian maka isterinya kemudian segala perempuan mahramnya (tetapi) yang faqih itu terlebih aula disini yakni pada memandikan mayat dan daripada akrab dan daripada yang terlebih lama daripada Islam dan yang faqih dan jikalau orang hilat terlebih aula daripada yang tiada faqih dan jikalau hampir kerabat dengan mayat bersalahan pada sembahyang disana kerana qasad disini membaikkan memandikan mayat.”

Turutan secara mudah seperti berikut:

1. Keturunan lelaki yang asabah. Orang yang faqih (tahu perkara memandikan mayat) lebih aula daripada orang yang tidak faqih walaupun orang yang tidak faqih itu lebih berumur atau lebih akrab dengan si mati.

2. Lelaki yang memerdekakan dia.

3. Imam atau naibnya jika baitulmal ada diwujudkan secara teratur di negara berkenaan.

4. Lelaki yang mempunyai hubungan zawil arham.

5. Orang yang hilat (asing). Disini diutamakan orang yang faqih daripada yang tidak faqih.

6. Isteri si mati.

7. Kerabat di kalangan perempuan yang mahram.

Wallahua'lam.

::: Pusat Talaqqi Batu Rakit :::

::: fb.com/PTBR.Official :::

0 ulasan:

Catat Ulasan