SOALAN
Pohon penjelasan berkenaan Ibnu Taimiyyah adakah kitabnya tidak boleh dijadikan rujukan?
JAWAPAN
الحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى نَبِيَّنا مُحَمَّدٍ؛ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِين.
وَ بَعْدُ:
Ibnu Taimiyyah insan yang tidak maksum, mempunyai karya yang banyak , menulis dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan qiraat. Beliau mempunyai ijtihad yang tersendiri. Jika dia betul dia mendapat dua pahala, jika tersalah, dia mendapat satu pahala.
Bermazhab Hambali tetapi dalam masa yang sama mempunyai pandangan yang berbeza dengan mazhab Hambali.
Berlaku pergeseran sengit antara beliau dengan beberapa orang ulamak sezamannya yang mengakibatkan beliau dipenjara.
Di antara yang bertembung sengit dengannya ialah Syeikh Subki iaitu salah seorang ulamak mazhab Syafei.
PERTEMBUNGAN DALAM KALANGAN ULAMAK
Pertembungan pandangan dalam kalangan ulama adalah perkara biasa. Mujtahid tidak harus menurut ijtihad mujtahid yang lain.
Imam Syafei berguru dengan Imam Malik, dan Imam Ahmad berguru dengan Imam Syafei. Begitu juga Imam Syafei berguru salah seorang murid Imam Abu Hanifah iaitu Muhammad Hasan al Syaibani.
Mereka berbeza pendapat dalam banyak perkara tetapi saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Sila rujuk Fiqh Sunnah berkenaan perdebatan antara Imam Syafei dan Imam Ahmad berkenaan hukum mereka yang meninggalkan sembahyang.
Rujuk perdebatan melalui tulisan antara guru Imam Nawawi iaitu Ibnu Soleh dengan Sultan al Ulamak iaitu Syeikh Izzidun. Kedua-duanya adalah bermazhab Syafei.
Sila kaji perselisihan pandangan al Isnawi dengan Imam Nawawi dan Imam Rafi’i. Mereka bermazhab Syafei tetapi Imam Isnawi mengeluarkan pendapat yang keras terhadap mereka berdua.
Lihat perbezaan pendapat antara Imam Suyuti dan al Sakhawi.
Berlaku pergeseran demi pergeseran. Kadang-kadang tidak terkawal.
Begitulah juga nasib Ibnu Taimiyyah .
Sikap orang Islam kepada Ibn Taimiyyah bolehlah dibahagi kepada tiga pandangan:
1-Golongan yang ta’assub.
2-Golongan yang menolaknya dan mengganggapnya sesat.
3-Golongan yang menerima dan menolak pendapatnya berdasarkan kekuatan hujjah.
Mereka yang mengganggap Ibnu Taimiyyah sesat menyatakan buku karangannya tidak boleh dijadikan rujukan.
Berikut contoh mereka yang menolaknya.
Ibnu Jamaah salah seorang ulamak mazhab Syafei .
وَمِنْ ثَمَّ قَالَ الْعِزُّ بْنُ جَمَاعَةَ: إنَّهُ ضَالٌّ مُضِلٌّ
Ibnu Taimiyyah sesat lagi menyesatkan .
Antara mereka yang menerima ialah seperti berikut ;
Al Suyuti dalam al Asybah wa al Nazoir ada menyebut nama Ibn Taimiyyah. Beliau merujuk kepada Ibnu Taimiyyah.
قال ابن تيمية لا يجوز قتل الجني بغير حق كما لا يجوز قتل الإنسي بغير حق و الظلم محرم في كل حال
Dalam syarah al Bukhori iaitu Umdah al Qori karangan al Aini, pengarang kitab tersebut yang bermazhab hanafi menyebut
وعن العلامة ابن تيمية
Al Allamah Ibnu Taimiyyah
Syeikh Anwar al Kashmiri ,dalam kitab syarah Tirmizi ada menyebut nama Ibn Taimiyyah:
تفسير سورة الإخلاص للحافظ ابن تيمية رحمه الله
وفي فتاوى الحافظ ابن تيمية رحمه الله تعالى في المجلد الثاني
Beliau seorang pakar hadis dan seorang sufi, menamakan Ibnu Taimiyyah sebagai al Hafiz iaitu pakar hadis.
Syeikh Najib al Muti’i dalam syarah Majmuk iaitu sambungan kepada Majmuk Imam Nawawi ada menyatakan:
وقد عنى شيخ الاسلام ابن تيمية في فتاواه الكبرى بهذا النوع من الخديعة فأبطل العقد وحمل على مجيزيه بالرأى والقياس
Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah.
Nasihat saya untuk diri sendiri, adalah menjadi satu kesalahan saya menghukum seseorang sebelum saya mendapat maklumat dari sumber yang muktabar.
Sepanjang pemerhatian saya, kertas ilmiah peringkat antarabangsa sentiasa merujuk kitab Ibnu Taimiyyah. Rujuk untuk diambil atau untuk ditolak. Itu perkara biasa dalam dunia ilmuwan.
Kepada yang mengutuk Ibnu Taimiyyah, bagus renung semula, tanyakan pada diri sendiri pernahkah karya beliau dibaca olehnya ?
Di benua India, benua yang ilmu hadisnya hidup mekar. Dipelajari sunnan sittah,p Muwatto Imam Malik , Syamail, Misykah dan lainnya. Para ulamak berpecah dua puak , satunya puak ahli hadis dan tidak terikat dengan mazhab Hanafi. Lahirlah kitab Aun Ma’bud, Tuhfatul Ahwazi dan lainnya.
Golongan ini bertembung dengan puak ulamak hadis yang mengikat diri mereka dengan mazhab Hanafi.
Lahir kitab Bazlu al Majhud, Faidul Bari , Ma’rif al Sunan dan lainnya.
Semua mereka ulamak hadis dan kuat beramal.
Dua-dua golongan menghormati Ibnu Taimiyyah.
Bukalah kitab mereka.Cari nama Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam kitab karangan mereka.
Saya pernah bertanya kepada mereka yang lama berkelana di bumi India mempelajari ilmu hadis di sana.
Saya tanya, apa pandangan ulamak hadis di India terhadap Ibnu Taimiyyah?
Dijawabnya dia amat dihormati.
Nasihat saya kepada mereka yang ingin membuat penilaian kepada Ibnu Taimiyyah;
1-baca kitab karangannya.
2-baca kitab karangan Abu Zahrah yang berjudul Ibnu Taimiyyah.
Setelah itu buatlah keputusan sendiri.
Ibnu Taimiyyah tidak maksum.
Ijtihadnya boleh diambil dan ditolak.
Menghukum beliau sebelum maklumat jelas adalah satu jenayah!
Menurut Abu Zahrah, Ibnu Taimiyyah berusaha berijtihad sendiri dan kebanyakan ijtihad tidak terkeluar dari mazhab empat.
وصَلَّى اللهُ على مُحَمَّدٍ وعلى آلهِ وصَحْبهِ الأَكْرَمِينَ والحمدُ لله رَبِّ العَالِمينَ
INTAHA ⏹
وَاللَّهُ أَعْلَم
PUSAT TALAQQI BATU RAKIT
Alhamdulillah. Pencerahan yg sgt baik
BalasPadam